Wednesday, December 15, 2010

Selamatkan Bumi Kita#1

Rakan Alam sedari kepentingan air


Murid-murid sekolah tekun dalam aktiviti mewarna.

Utusan Malaysia (16/12/2010)

SUSULAN daripada penyertaan mereka melalui program sehari bersama Rakan Alam Sekitar, baru-baru ini, lebih 300 orang pelajar dari sekolah-sekolah di kawasan Parlimen Pensiangan, Keningau, Sabah, kini menyedari kepentingan peranan sungai dan laluan air terhadap persekitaran selain daripada menjadi sumber bekalan air, pengangkutan dan tempat rekreasi utama.

Para pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ambual, SK Magatang, SK Penagatan Laut, SK Sodomon, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabawan dan SMK Keningau dalam kawasan Parlimen Pensiangan telah berkumpul di SK Ambual untuk menyertai acara Rakan Alam Sekitar Pensiangan 2010.

Peserta yang terdiri daripada usia tujuh hingga 17 tahun itu telah mempelajari pelbagai ilmu tentang peranan sungai melalui pelbagai kegiatan yang diadakan seperti peraduan melukis dan mewarna hingga kepada uji kaji mudah bagi menentukan dan mengukur tahap kualiti air dan organisma yang hidup di situ.

Kebanyakan masyarakat di kawasan itu bergantung kepada sungai untuk keperluan seharian mereka, termasuk memasak, mandi dan mencuci.  Sungai juga berfungsi sebagai salah satu bentuk pengangkutan dan penting dalam menyokong ekosistem Sabah. 

Projek itu yang disokong oleh Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) telah menyediakan pelbagai aktiviti untuk para pelajar dalam meningkatkan kefahaman mereka tentang kepentingan sungai dalam ekosistem kita. Mereka juga dididik mengenai kepentingan pemuliharaan sungai dan kesan negatif akibat pencemaran sungai.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup, merangkap Ahli Parlimen Pensiangan.  Program Rakan Alam Sekitar dilancarkan di seluruh negara pada tahun 2009 oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi mendorong masyarakat untuk menghargai dan bertanggungjawab terhadap pemuliharaan alam sekitar dalam membendung pencemaran.

Program tersebut yang dilaksanakan di bawah jawatankuasa Rakan Alam Sekitar telah ditubuhkan dalam setiap kawasan Parlimen bagi menyelia, memantau dan menyokong pelbagai kegiatan untuk meningkatkan kesedaran tentang alam sekitar serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam penjagaan kebersihan dan keselamatan alam sekitar.

Baik pulih Sungai Segget tambah ceria Johor Bahru

(Berita Harian) 2010/12/16

Teknologi terkini mampu hapuskan bau busuk, sisa toksik
RAMAI gembira dengan usaha kerajaan hendak membaik pulih Sungai Segget di tengah bandar raya Johor Bahru yang kini sudah ditutup lebih lima tahun lalu menjadikannya sebagai Legaran Segget untuk pejalan kaki dengan dihiasi taman dan pancutan air.


Mungkin itulah cara terbaik waktu itu untuk menutup baunya yang amat meloyakan selain menyorok pencemarannya yang ketika itu dijadikan sebagai saluran membuang sampah oleh mereka yang tinggal di sekitarnya. 

Tetapi kini dengan wujudnya pelbagai teknologi canggih yang boleh membersihkan sungai tercemar dengan buangan sisa toksik yang mengandungi pelbagai logam berbahaya selain dapat pula menghapuskan bau busuknya, sungai tercemar sudah boleh dibaik pulih. 

Diharapkan dengan pemulihan yang mana airnya akan kembali mengalir sebagai sebuah sungai bersih dan jernih, Sungai Segget akan dapat dikembalikan sebagai ikon kepada bandar raya itu yang mula didiami pada 1800 apabila Temenggung Ibrahim tiba bersama pengikutnya untuk meneroka dan mendiami kawasan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melawat Johor Bahru Mei lalu mengumumkan peruntukan sehingga RM200 juta untuk memulihkan kembali sungai itu.

Beliau menjelaskan bahawa kerja pembersihan itu akan bermula dengan mengatasi masalah kumbahan yang mengakibatkan pencemaran oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) hingga membayangkan bagaimana bot gondola boleh belayar di situ seperti di Venice, Itali yang dikunjungi ramai pelancong.

Najib juga telah menerangkan bagaimana anak Sungai Cheonggyecheon di bandar raya Seoul, Korea Selatan yang juga telah ditutup dengan simen dengan didirikan jejambat lebuh raya di atasnya dibongkar untuk memulihkan sungai itu pada 2003. Tiga tahun kemudian sungai yang hanya sepanjang 5.3 kilometer itu telah dipulihkan dan kini sudah menjadi tempat beriadah popular di Seoul.
Perdana Menteri berharap Sungai Segget juga akan dapat dipulihkan seperti Sungai Cheonggyecheon.

Pihak berkuasa Bandaraya Johor Bahru sebelum itu diberitakan telah melepaskan mikroorganisma ke dalam sungai itu dalam usaha membersihkannya memandangkan air kotornya berterusan mengalir membawa pencemarannya ke Selat Tebrau. Hasilnya dikatakan amat memberangsangkan dan kini dimajukan syor untuk memulihkannya dengan membuka sungai itu kembali.

Apa pun selain daripada menggunakan kaedah mikroorganisma ini, kini sudah wujud cara baru yang dibangunkan anak tempatan sendiri dengan bantuan beberapa orang profesor di Taiwan menggunakan peralatan yang menggabungkan teori fizik kuantum dan gelombang dan proses termodinamik dikenali teknologi iPQR untuk menghapuskan segala logam dan apungan yang terdapat dalam air tanpa menggunakan sebarang bahan kimia.

Teknologi ini yang sudah diuji dengan jayanya di beberapa batang sungai dan kolam di Taiwan telah dapat menghapuskan pelbagai jenis kimia berbahaya serta zarah yang terapung di permukaan air seperti e-coli daripada najis selain menghapuskan baunya.

Ia berfungsi dengan menukarkan sifat air tercemar dengan mengubah struktur dan saiz molekul, ketelarutannya selain daripada menambahbaik pelbagai sifat lainnya termasuk meningkatkan kandungan oksigen dalamannya. Dengan itu ikan tentunya akan dapat membiak semula di sungai yang dirawat.

Ia telah diuji dengan jayanya di beberapa batang sungai dan kolam seperti di Sungai Kok Mak Perlis, Sungai Derga dan Sungai Alor Siam di Alor Setar serta berjaya membaik pulih kolam rawatan IWK di Rawang yang tercemar dengan pelbagai macam jenis buangan haram oleh kilang berhampiran.

Dengan pengumuman usaha memulihkan Sungai Segget dengan membuka semula tutupan di atasnya pelbagai cadangan telah dikemukakan termasuk mewujudkan semula pasar malam Ungku Puan yang amat popular dengan warung makanan di situ sebelum sungai itu ditutup dan dijadikan Legaran Segget.

Ramai juga mengharapkan teknologi terbaru ini boleh digunakan dengan luasnya untuk membaik pulih sungai di merata tempat dalam negara yang begitu teruk tercemar. Antaranya ialah Sungai Korok di Alor Setar yang pada tahun 50-an dulu masih bersih dan digunakan untuk mandi dan bersampan membawa barang dan penumpang. Tetapi kini sudah menjadi tempat buangan sampah hingga airnya pun sudah tidak mengalir.

Sungai itu yang sebenarnya adalah sebuah terusan buatan manusia, malah dikatakan terusan buatan manusia terpanjang di dunia (36 kilometer) yang didirikan hanya dengan menggunakan kudrat manusia tanpa sebarang jentera.
Untuk menentukan ia lurus, Wan Mat Saman telah menggunakan obor sebagai tanda arah bila ia digali sedalam 1.5 meter dan seluas 7.5 meter.

Terusan itu mula dibangunkan pada Ogos 1885 dan siap pada Julai 1896 dari Gurun hingga ke Sungai Kedah di Alor Setar. Tentunya ia harus dibaik pulih dan patut diisytiharkan sebagai suatu warisan kebangsaan.

Diharapkan kerajaan juga akan mewujudkan kembali kempen ‘Sayangi Sungai’ untuk mendapatkan kerjasama semua pihak, baik mereka yang mendiami kawasan sungai yang menjadikannya sebagai tempat membuang sampah mahupun pelbagai macam kilang, baik yang sah mahupun yang haram supaya tidak menyalurkan bahan buangan ke dalam sungai.

Ini juga berkehendakkan semua pihak berkuasa tempatan lebih prihatin dan aktif memantau semua kilang yang beroperasi berdekatan sungai daripada menggunakannya sebagai tempat buangan pelbagai bahan toksik dan buangan berbahaya mereka.

Penulis adalah Felo Kanan UKM